In the news : YRMS, 4 institusi kemahiran jalin kerjasama – (BH Online) Khamis, 5 Julai 2018 8:06pm

SHAH ALAM: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) menjalinkan kerjasama dengan empat institusi kemahiran bagi membantu belia melanjutkan pengajian dalam bidang vokasional.

Empat institut berkenaan ialah Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan, Kolej Komuniti, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC).

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) di antara YRMS dan empat institusi berkenaan di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah bertitah, usaha berkenaan adalah selaras dengan hasrat baginda iaitu YRMS sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu belia yang kurang bernasib baik dalam mewujudkan masa depan yang lebih baik.

“Bukan semua mempunyai keputusan baik dalam akademik, tetapi ini tidak bermakna masa depan mereka akan berakhir apabila tidak bagus dalam peperiksaan. Tambahan pula, tidak semua ibu bapa dapat menghantar anak mereka ke institusi pengajian swasta.

“Di YRMS, kami berhasrat merapatkan jurang mereka yang mempunyai peluang istimewa. Setiap individu dilahirkan dengan banyak potensi sendiri dan dengan latihan betul serta pendedahan, kita dapat membantu belia membentuk masa depan mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka,” titah baginda.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Tengku Amir Shah bertitah, dengan perkembangan pesat ekonomi dunia, pasaran tenaga kerja lebih khusus, permintaan untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) semakin meningkat.

Baginda bertitah, statistik menunjukkan 90 peratus daripada 13,000 pelajar TVET mendapat pekerjaan sebelum menghabiskan pengajian masing-masing.

Menerusi perjanjian itu, YRMS menaja seramai 660 pelajar daripada empat institusi berkenaan bagi tahun 2018 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang vokasional.

Source : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/445570/yrms-4-institusi-kemahiran-jalin-kerjasama 

Close Menu