In the news : Selangor wujudkan Malaysia Smart Factory 4.0 pertama di Asia Tenggara (Selangorkini)

SELANGOR 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 SEPT: ‘Malaysia Smart Factory 4.0’(MSF4.0) yang diwujudkan pertama di Asia Tenggara mampu menjadi platform terbaik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama dengan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) itu juga melatih peserta menjadi pencipta teknologi.

Katanya, Selangor turut berkolaborasi bersama Switzerland iaitu Swiss Smart Factory (SSF) untuk membangunkan MSF 4.0 di Selangor iaitu satu fasiliti latihan dan kemahiran Industri ini.

“MSF merupakan fasiliti latihan dan pemberdayaan teknologi kilang pintar atau Smart Factory yang pertama sepertinya dibangunkan di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Sebagai pemain utama dalam sektor swasta negeri, saya percaya anda menyedari visi Selangor menjadi negeri pintar sepenuhnya akan direalisasi menjelang tahun 2025.

“Impak revolusi perindustrian 4.0 di Selangor dijangka mewujudkan pekerjaan yang bernilai tinggi dan akan memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian MSF4.0 di Ibu Pejabat SHRDC, di Pusat Perniagaan Worldwide, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pengukuhkan dan peningkatan ‘Smart Manufacturing’ turut menjadi pemangkin kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, dengan penciptaan dan penghijrahan IKS ke ‘Smart Factories’, Kerajaan Negeri dapat menambah baik dan meningkatkan produktiviti pekerja kolar biru.

“Satu kajian terbaru oleh Jabatan Perangkaan Malaysia terdapat 30 peratus tenaga buruh asing di Malaysia datang dari Selangor.

“Dengan agenda Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan lagi tenaga kerja asing, sektor perkilangan terutamanya di Selangor harus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan latihan ini untuk melatih rakyat Malaysia tempatan dan mencipta generasi baru pekerja yang maju secara teknikal.

“Manakala, sektor perkilangan pula dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing mereka dengan menggunakan sistem automatik, analisis data dan proses perniagaan mereka,” katanya.

Lebih menarik, katanya, MSF 4.0 memberi peluang kepada semua pihak sama ada pelajar dan pekerja meneroka dan tidak terikat dengan teknologi tertentu secara penyelesaikan bersumber terbuka.

“Dalam rangka kerja ini, pemain industri besar termasuk OMRON, Siemens, Pepperl, Fuchs, Balluf, Cuberlab dan Altair menyumbang kerangka kerja dalam MSF 4.0 ini.

Source : https://selangorkini.my/2018/09/selangor-wujudkan-malaysia-smart-factory-4-0-pertama-di-asia-tenggara/  

Close Menu